Tarikh rasmi aku mendarat di bumi ialah 30 Mei 1991. Aku dilahirkan dalam keluarga biasa-biasa sahaja, tidak senang dan tidak susah. Ayah aku seorang mekanik disebuah syarikat membaiki kereta, sudah hampir 30 Tahun lebih Abah bekerja sebagai mekanik, manakala ibu aku seorang suri rumah sepenuh masa. Aku merupakan anak sulung daripada empat beradik. Namun kini, adik aku hanya tinggal dua orang sahaja kerana salah seorang daripada adik aku telah kembali ke rahmatullah Pada 17 Januari 2015 dalam usia yang cukup muda. Pemergiaannya amat terkesan dalam kehidupan keluargaku kini. Terlalu sedih untuk diceritakan kerana pemergiaanya tidak disangka-sangka.
Anak Sulung!
Sebagai seorang anak pertama di antara adik-beradik, semestinya tanggungjawab aku lebih besar berbanding yang lain. Anak pertama haruslah menjadi contoh yang terbaik kepada adik-adiknya dan memainkan peranan yang besar dalam keluarga selepas mak dan ayah kita. Manakala mak dan ayah pula, sudah pasti mereka menaruh harapan yang sama kepada aku sebagai anak sulung. Pada zaman kanak-kanak, pemikiran kita tidak begitu matang dan mustahil kita sudah berfikir untuk menjadi contoh terbaik kepada adik-adik. Melainkan pengaruh ibu bapa itu sendiri yang mendidik anaknya. Begitu juga aku, sewaktu kecil banyak perkara nakal yang telah aku lakukan hingga terciptanya kenangan-kenangan manis dan pahit yang masih lagi terpahat di dalam memori hidup aku. Teringat dulu, aku pernah dimarahi dan dikejar mak aku mengelilingi bangunan sekitar rumah dan bergaduh dengan rakan-rakan sekampung hingga kecoh seluruh kampung dibuatnya!
Sejujurnya hingga sekarang aku pun tidak pasti sama ada aku menjadi contoh yang terbaik atau tidak kepada adik aku. Mungkin perangai aku kadang-kala juga buat adik-beradik aku tidak senang. Atau aku cuba ingin menunjuk baik kepada adik aku. Terpulang kepada taksiran mereka. Tetapi, yang pasti aku ada beberapa perkara yang baik untuk contohi mereka. Sebagai contoh, rokok.

No comments:
Post a Comment